Followers

GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN

Friday, 11 November 2011

BAHASA

Maksud Bahasa
Kebolehan semulajadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang arbitrari, yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Hal ini bermakna bunyi-bunyi lain yang cara penghasilannya bukan yang diucapkan oleh alat-alat pertuturan manusia bukanlah bahasa namanya. Malahan, jikalau bunyi yang dihasilkan itu ialah bunyi yang tidak berstruktur atau bunyi yang tidak bermakna bagi manusia lain bererti bunyi itu juga bukanlah bahasa (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005a: 331).

Kamus Dewan Edisi ke empat (2005:106) mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu yang lain) dan sebagainya.


Jenis-jenis Bahasa:
Bahasa Baku
Dikenali juga sebagai bahasa standard, iaitu kelainan bahasa atau variasi bahasa yang dipakai atau digunakan oleh pengguna bahasa waima secara lisan atau bertulis dalam situasi formal atau rasmi seperti perundangan, pentadbiran, persekolahan, pengajian tinggi dan alat sebaran am. Biasanya, bahasa baku telah melalui proses pengekodan, teratur dan mantap dalam pelbagai aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa, dan yang lain lagi serta diterima oleh masyarakat sebagai norma penggunaan yang betul atau sahih.

Bahasa Basahan 
Bentuk bahasa yang digunakan sebagai bahasa seharian dalam situasi yang tidak formal.

Bahasa Kebangsaan
Bahasa yang menjadi bahasa utama bagi sesebuah negara yang berdaulat. Contohnya, bahasa Melayu di Malaysia ialah bahasa Kebangsaan.

Bahasa Kiasan
Nama lainnya ialah bahasa figuratif iaitu penggunaan kata atau ungkapan atau kiasan agar pernyataan yang diberikan meninggalkan kesan yang lebih halus dan berkesan (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005a: 3031).

Bahasa Rasmi
Bahasa yang digunapakai untuk urusan pentadbiran dan formal atau rasmi bagi sesebuah negara. Bahasa kebangsaan boleh menjadi bahasa rasmi tetapi bahasa rasmi tidak semestinya bahasa kebangsaan dan bahasa kebangsaan pula tidak semestinya bahasa rasmi.

No comments:

Post a Comment