Followers

GUNAKANLAH BAHASA KEBANGSAAN

Thursday, 10 November 2011

Penggunaan Pantun Dalam P&P Tatabahasa Bahasa Melayu


Pendahuluan

Kebanyakan murid kurang berminat dalam pembelajaran tatabahasa. Keadaan ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya ialah tatabahasa terdiri daripada rumus-rumus bahasa yang perlu dihafal. Dengan demikian, pengajaran tatabahasa lebih menumpukan perhatian kepada pendedahan rumus tatabahasa dan analisis salah atau betul penggunaan bahasa untuk tujuan peperiksaan.

Penggunaan puisi sebagai bahan pengajaran tatabahasa kurang dilakukan oleh guru-guru. Ini adalah kerana guru sukar memperoleh bahan yang sesuai dengan unsur tatabahasa yang hendak diajarkan, atau bukan semua unsur tatabahasa yang hendak diajarkan terdapat dalam puisi yang akan dijadikan bahan pengajaran. Puisi, lazimnya mengandungi kesalahan tatabahasa atau dianggap penyimpangan daripada norma tatabahasa. Hal ini dianggap wajar dalam karya sastera demi mewujudkan keindahan atau sebagai gaya dalam sastera. Ekoran daripada masalah ini, tugas guru akan bertambah. Mereka terpaksa membuat penyuntingan terlebih dahulu sebelum sesuatu bahan dapat digunakan untuk pengajaran bahasa. Keadaan ini memerlukan masa untuk penyediaan bahan, sedangkan manfaat bahan puisi tersebut dalam mengajarkan tatabahasa belum terbukti.

Pemilihan Pantun dan Syair Sebagai Bahan Pengajaran Tatabahasa

Bahan pengajaran ialah bahan rangsangan. Bahan yang dapat dijadikan alat penggunaan bahasa terdiri daripada pelbagai bentuk wacana seperti prosa, puisi dan bahan grafik. Dalam konteks pengajaran tatabahasa, bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikanasas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tatabahasa tertentu (Awang Sariyan, 1998:488).

Pantun dan syair adalah antara bahan yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Daripada pantun dan syair, ada unsur-unsur tatabahasa yang dapat digunakan bagi mengajarkan tatabahasa. Guru juga dapat membina latihan tatabahasa daripada pantun atau syair tersebut.

Apapun unsur tatabahasa yang hendak diajarkan daripada pantun dan syair, guru tersebut perlu menyesuaikan bahan tersebut dengan objektif pengajaran. Guru perlu merancang objektif pengajarannya supaya sesuai dengan keperluan bahan dan unsur tatabahasa yang hendak diajarkannya. Selain itu, pengajaran tatabahasa harus dikaitkan dengan kemahiran-kemahiran berbahasa yang lain.

Aplikasi Pantun dan Syair dalam Mengajarkan Ayat

Terdapat beberapa unsur tatabahasa yang dapat diajarkan daripada pantun dan syair. Antaranya ialah meneliti jenis ayat, pola ayat, susunan ayat dan teknik penyambungan ayat.
1. Ayat penyata:     1.  Limau Bentan di tepi tingkap,
                                        Budak-budak melempar burung;
                                   Harimau di hutan lagi kutangkap,
                                        Kononlah pulak cicak mengkarung.
                                                                             (Rangkap 5, Pantun Kiasa)


                              2.  Setelah sampai ke tepi pantai,
                                         Pasirnya putih sangat permai;
                                   Batunya indah bagai dicanai,
                                        Ombak memecah di tepi pantai.
                                                                            (Rangkap 1, Syair Pembunuhan Angreni)

Dalam syair dalam contoh (2), ayat penyata terdapat dalam setiap baris. Ayat penyata yang mengisi rangkap ini bertujuan untuk membuat penyataan atau perlukisan tentang unsur alam (keadaan di tepi pantai). Dalam baris (1), pelaku yang mengisi subjek ayat tidak dinyatakan atau digugurkan. Keadaan inni berlaku demi memeprtahankan jumlah sukukata.

2. Ayat tanya:         1.  Pisau raut hilang di rimba,
                                            Pakaian anak raja di Juddah;
                                   Karam di laut boleh ditimba,
                                            Karam di hati bilakah sudah.
                                                                             (Rangkap 1, Pantun Mengenang Nasib)


                             2.  Buah berangan masaknya merah,
                                            Kelekati dalam perahu;
                                  Luka di tangan nampak berdarah,
                                            Luka di hati siapa yang tahu.
                                                                             (Rangkap 3, Pantun Mengenang Nasib)


Pada contoh pantun di atas, ayat tanya berada di baris akhir rangkap pantun, yakni ayat tanya terdapat dalam maksud pantun. Di sini mesej yang hendak disampaikan dinyatakan melalui pertanyaan yang meliputi ke dua-dua baris maksud.


Penutup

Di sini, secara ringkas memaparkan bahawa pantun dan syair dapat dimanfaatkan untuk mengajarkan tatabahasa. Unsur bahasa yang membina puisi tradisional tersebut dapat digunakan bagi mengasuh murid-murid menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Perancangan yang rapi daripada segi pemilihan bahan yang sesuai dengan unsur tatabahasa yang hendak diajarkan adalah perlu bagi merangsang murid mempelajari tatabahasa dalam keadaan yang natural dan tidak berasa tertekan.




   

No comments:

Post a Comment